Sabtu, 19 Januari 2008



Awaliyah sibuk urus cendawan, klinik homeopati

Oleh ROSMAH DAIN

AWALIYAH BIARPUN telah bergelar usahawan dengan mempunyai sebuah syarikat pelancongan yang mengendalikan umrah dan ziarah serta klinik Homeopati, namun wanita ini tetap mahu mencuba bidang pertanian yang memang diminatinya semenjak kecil.

Bagi merealisasikan impian berkenaan, sejak hampir lapan bulan lalu, beliau telah membina sebuah bangsal pertanian bersebelahan rumahnya bagi mengusahakan penanaman cendawan tiram kelabu.

Awaliyah Wahid, 43, mengakui pada mulanya beliau bertindak mengusahakan penanaman cendawan berkenaan sekadar suka-suka sahaja akibat teruja dengan kegiatan aktiviti rakan-rakan lain yang berbuat demikian bagi mengisi masa lapang.

Beliau sama sekali tidak menyangka, tanaman cendawan yang diusahakan kini amat memberikan pulangan pendapatan yang baik.

Cendawan tiram keluarannya kini dipasarkan di sekitar pasar raya dan pasar tani berhampiran rumahnya atau dipasarkan sendiri.

``Ramai juga yang datang ke sini untuk membeli sendiri cendawan ini daripada kami kerana rasanya lebih manis dan sedap memandangkan ia lebih segar kerana baru dipetik dan tiada bahan pengawet mahupun racun serangga serta harganya lebih murah,’’ katanya.

Awaliyah kini mengusahakan 12,000 bongkah cendawan di bangsal berkenaan yang mana setiap satu bongkah boleh mengeluarkan hampir 30 putik cendawan pada satu-satu masa.

Dibantu oleh suaminya, Johari Mat Isa, 44, Awaliyah mengakui, rutin hariannya sekarang menjadi semakin sibuk kerana harus menumpukan perhatian kepada penanaman cendawan, apatah lagi buat masa ini beliau belum mempunyai pembantu.

“Saya akan bangun pukul lima pagi untuk membersihkan bangsal cendawan, kemudian memetik cendawan dan mengumpulkan di dalam bekas untuk diagih-agihkan kepada pihak yang telah membuat pesanan.

“Selepas itu saya akan terus ke syarikat memulakan tugas sebelum ke klinik Homepathy untuk melihat apa yang diperlukan di sana,’’ katanya yang juga memasarkan kopi dan ubat-ubatan herba hasil perkilangan tempatan.

Pada waktu petang pula, Awaliyah akan bergegas balik dari syarikat untuk memetik cendawan. Pada waktu tengah hari ibunya akan membantu memetik tumbuhan berkenaan.

Katanya, cendawan tiram adalah tumbuhan yang cepat berkembang, tidak memerlukan modal yang banyak dan mudah dijaga.

Dalam satu hari katanya, cendawan perlu dipetik tiga kali iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan petang. Sekiranya proses memetik cendawan ini terlewat untuk beberapa jam, cendawan yang berkembang akan rosak.

Selain itu beliau juga perlu memastikan bangsal cendawan sentiasa bersih memandangkan bangsal yang tidak dijaga dengan baik akan menyebabkan cendawan mudah rosak, berkulat dan berbau.

Awaliyah memberitahu, beliau mendapat benih cendawan daripada Jabatan Pertanian Tanjung Malim, Perak.

“Operasi menyemai benih cendawan memerlukan habuk kayu getah, dedak, kapur pertanian yang digaul sebelum proses pengukusan selama tujuh jam dilakukan. Kemudian bahan-bahan ini dimasukkan ke dalam beg.

“Benih akan disemai ke dalam setiap beg dua hari selepas proses kukus berkenaan dan kita akan menanti selama tiga bulan sebelum cendawan boleh dipetik,’’ kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Sementara itu, usahawan wanita ini juga turut mempunyai sebuah cawangan syarikat pelancongan di Tanjung Malim, Perak dan ibu pejabat baru syarikat pelancongannya sedang dibina di Klang, Selangor.

Melihat kejayaan penanaman cendawan yang diusahakan, Awaliyah kini sedang merancang untuk membina beberapa bangsal lagi untuk melipat-gandakan tanamaan ini dengan mengambil beberapa pembantu untuk mengkomersialkan tanaman ini.

Awaliyah yang menetap di No. 11, Kampung Padang, Behrang Station, Behrang, Tanjung Malim, Perak boleh di hubungi di talian 05-4541635 ataupun 019-3544888.

Tiada ulasan: